Thursday, 1 December 2016

Kembara Andalusia Spain 2016- Hari 02 (01/12/2016): MADRID – TOLEDO - CORDOBA

KEMBARA ANDALUSIA – MADRID, TOLEDO, CARDOBA, GRANADA & SEVILLE

HARI 02 (01/12/2016): MADRID – TOLEDO - CORDOBA

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera

Ringkasan perjalanan
Selepas sarapan pagi, bertolak ke Toledo dengan bas, lawatan di Toledo termasuk ke Damascene Steel Workshop (pusat kraf dan kesenian pertukangan emas dan keluli berasal dari Damascus Syria) dan berjalan kaki melawat Santo Tome (bandar lama Toledo). Meneruskan perjalanan dengan bas ke Cordoba. Bermalam di Cordoba.

Pemandangan panorama bandar lama Toledo (Santo Dome) dari Mirador Del Valle








Catatan Kembara
Selepas sarapan pagi dan daftar keluar dari dari Hotel Holiday Inn Calle Alcala, Madrid, 8:45 pagi bertolak dengan bas melalui route A42 Autovia de Toledo dan tiba di Toledo lebih kurang pukul 10:00 pagi.

 Toledo merupakan sebuah bandar utama di Al-Andalus. Al-Andalus (bahasa Arab: الأندلس al-andalus Sepanyol: Al-Ándalus atau el Andalucía) , atau juga dikenali sebagai Iberia Moor, merupakan sebuah negeri Islam pada Zaman Pertengahan yang merangkumi beberapa wilayah negeri-negeri Sepanyol, Portugal dan Perancis masa kini. Secara amnya nama "Al-Andalus" bahasa arab bermaksud  menjadi hijau saat akhir musim panas,  menggambarkan bahagian-bahagian Semenanjung Iberia dan Septimania yang diperintah orang Islam (dikenali dengan nama generik Moor) di antara tahun 711 dan 1492, walaupun sempadannya sentiasa berubah akibat peperangan dengan negeri-negeri Kristian. Pada zaman kegemilangannya, Toledo telah banyak memberikan sumbangan terhadap gerakan pemikiran dalam kebudayan Islam. Selain itu Toledo sangat hebat dalam bidang astronomi.

Hotel Holiday Inn Calle Alcala, Madrid

Maaf kita tidak ke Stadium Olimpic Madrid, terus ke Toledo

Pemandangan biasa padang rumput di sepanjang route A42 Autovia de Toledo 

Pemandangan biasa padang rumput di sepanjang route A42 Autovia de Toledo 

Melintasi  Equestrian Statue of Alfonso VI of Castile di Av de Madrid, sebaik sahaja memasuki Toledo dari route A42


 Alfonso VI (1040-1109) menjadi raja di León pada tahun 1065 dan Castile pada tahun 1072. Selepas ditewaskan oleh abangnya, Sancho yang menjadi Raja Castile, Alfonso menghabiskan 9 bulan dalam buangan di Toledo sebagai tetamu Al-Mamun (1043-1075), pemerintah kerajaan Islam Toledo. Kemudian menjadi Raja Castile pada Oktober 1072 selepas kakaknya, Urraca telah merancang pembunuhan Sancho. Dari tahun 1072-1086, Alfonso VI melaksanakan dasar yang agresif terhadap pemerintah-pemerintah Muslim seperti memeras ufti berbentuk kewangan. Dikatakan Alfonso IV telah bersekutu dengan  Al-Mamun dalam menjatuhkan atau cuba menguasai kerajaan-kerajaan Islam di Cordoba, Granada dan Seville. Ironinya, pada tahun 1085, Alfonso VI telah menakluki Toledo sepenuhnya menandakan berakhirnya sebuah kerajaan Islam di Toledo.

Rio Tajo dari atas jambatan Avenida de la Cava

San Martin's Bridge (Puente de San Martín) merentangi Rio Tajo dari atas jambatan Avenida de la Cava


Puente de San Martín telah dibina pada abad ke-14 oleh ketua biskop Pedro Tenorio untuk menyediakan akses ke bandar lama dari barat, melengkapi Puente de Alcántara yang lama sebelah timur.

Terdapat lagenda Puente de San Martín yang mengisahkan bagaimana seorang isteri  menyelamatkan maruah suaminya dan juga berkemungkinan berhadapan hukuman mati. Jambatan asal telah musnah dalam peperangan dan dibina semula. Apabila jambatan ini dalam peringkat akhir pembinaan, arkitek/jurutera yang bertanggungjawab bagi projek itu menyedari bahawa dia telah membuat perkiraan yang salah. Jika semua perancah dikeluarkan, gerbang tengah jambatan itu tidak akan cukup kuat untuk menyokong berat batu-batan  yang akan dibawa masuk untuk pembinaan Katedral Toledo. Beliau merahsiakan perkara ini dan menjadi susah hati akan kehilangan reputasi juga hukuman yang bakal dikenakan semasa Zaman Pertengahan. Apabila si isteri arkitek/jurutera tersebut mengetahui perkara ini, pada satu malam ketika berlaku ribut angin kencang, si iseri secara senyap telah keluar pergi membakar rasuk menyokong gerbang tengah hingga menyebabkan jambatan runtuh. Keesokkan harinya, orang ramai menyangka kejadian ribut semalam telah memusnahkan jambatan tersebut. Kerja pembinaan diteruskan semula dengan arkitek/jurutera tersebut membuat pengiraan semula menjadikan jambatan itu begitu utuh.

Lebih kurang 10:15 pagi tiba di Mirador Del Valle, Carretera Circunvalación (Ronda de Toledo), merupakan satu lokasi untuk melihat pemandangan panorama bandar lama Toledo (Santo Dome).

Bandar lama Toledo (Santo Dome) dari 'lookout' point' di Mirador Del Valle


Pemandangan panorama bandar lama Toledo (Santo Dome) dari Mirador Del Valle


Pemandangan panorama bandar lama Toledo (Santo Dome) dari Mirador Del Valle


Menurut pepatah Sepanyol lama, sehingga anda telah melihat Toledo, anda tidak pernah melihat Sepanyol. Toledo merupakan sebuah bandar lama dikelilingi tembok yang terletak di atas bukit di dataran Castilla-La Mancha disempadani oleh Sungai Tajo, dimana ianya terkenal dengan monumen Arab, Yahudi dan Kristian Zaman Pertengahan.  Ia juga merupakan tempat tinggal pelukis Mannerist terkenal El Greco.

 Toledo diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1986 kerana mempunyai warisan budaya, tapak bersejarah (monumen) yang luas dan juga sejarah kewujudan bersama 3 budaya berlainan iaitu Kristian, Muslim dan Yahudi.

 Toledo berada di bawah pemerintahan Kerajaan Islam bermula dari tahun 711 hasil penaklukan Panglima Perang Islam Tariq Bin Ziyap, sehingga kejatuhannya pada tahun 1085 setelah penaklukan semula (Reconquista) oleh Alfonso VI dari Castile menandakan kali pertama sebuah bandar utama di Al-Andalus telah ditawan oleh tentera Kristian. Toledo menyaksikan kejatuhan sebuah kerajaan Islam akibat pengkhianatan dan komplot dalaman sesama sendiri. Kegemilangan kerajaan Islam silam di Toledo tinggal menjadi kenangan dan pengajaran.

Peserta lelaki bergambar kenangan bersama 'tour guide' di 'lookout' point'  Mirador Del Valle


Peserta perempuan bergambar kenangan di 'lookout' point'  Mirador Del Valle


 Seterusnya, dalam pukul 10:45 pagi singgah dahulu di Damasquinados Suarez (Damascene Steel Workshop), Avenida de la Cava, Toledo, merupakan salah satu pusat kraf dan kesenian pertukangan emas dan keluli berasal dari Damascus Syria yang banyak terdapat di sekitar Toledo. Hasil barangan kraf dan pertukangan di sini dijual kepada pelancong-pelancong untuk dijadikan cenderahti. Harga sudah pasti premium untuk barangan berkualiti tinggi buatan tangan. Reputasi dan sejarah ketajaman pedang keluli Damsyik telah menimbulkan banyak legenda, seperti keupayaan untuk memotong 'barrel' senapang atau membuatkan rambut yang gugur atas bilahnya terpotong dua.

Damasquinados Suarez (Damascene Steel Workshop), Avenida de la Cava, Toledo


Melihat pembuatan  'Damascene Gold Pendant' di Damasquinados Suarez

Lukisan kota lama Toledo (Santo Dome) di Damasquinados Suarez (Damascene Steel Workshop)

Sekecil-kecil pisau hingga sebesar-besar pedang dari berbeza zaman/budaya di Damasquinados Suarez 

Pedang tahap gaban ni. Berat giler terdapat di Damasquinados Suarez

Pakai baju perisai ni mau tumbang nak berjalan. Damasquinados Suarez

11:20 pagi, masa untuk tinggalkan Damasquinados Suarez (Damascene Steel Workshop)


 Seterusnya bas menghantar kami ke Toledo Escalator (Escalera Toledo) untuk mula menaiki ke kota lama Toledo (Santo Dome) sehingga di Subida Granja. Dari sini berjalan kaki melalui jalan sempit di kawasan penempatan lama Yahudi ('Jewish Quarter') dimana dapat melihat binaan dan rumah lama kesan peninggalan Roman dan Islam untuk ke Church of Santo Tome (sudah dijadikan sebagai muzium) terletak di Plaza del Conde.

Route berjalan kaki di Toledo (Santo Dome) (laluan sebenar mengikut pemandu pelancong sedikit berbeza kerana batasan pada google map)



Anda boleh memuat turun peta pelancongan seperti dibawah dipautan (link) ini.


Melihat binaan asal gaya  Mudéjar ('Arabic Moors') yang telah diubahsuai di 13 Calle Rea.

Melihat binaan asal gaya  Mudéjar ('Arabic Moors') yang telah diubahsuai di 13 Calle Rea.

Melihat binaan asal gaya  Mudéjar ('Arabic Moors') yang telah diubahsuai di Cuesta Corchete

Melihat binaan asal gaya  Mudéjar ('Arabic Moors') yang telah diubahsuai di 1 Plaza Cardenal Siliceo. Bangunan ini menjadi kediaman perempuan Univerisiti 'Our Lady of Remedios' 'Pinjam Vespa buat posing sat..' 

Nak masuk Museum Santo Dome Church untuk melihat El Greco's masterpiece "The Burial of the Count of Orgaz". 

Church of Santo Dome dibina pada kurun ke-14. Di dalam terdapat lukisan "The Burial of the Count of Orgaz" oleh El Greco, seorang pelukis, pengukir, dan arkitek Sepanyol Renaissance berbangsa Yunani. Secara meluas dianggap antara karyanya yang terbaik dan dianggap seorang legenda tempatan amat popular di zamannya. Bayaran masuk 2.50 Euro dah bayar di 'KL', tapi tidak dibenarkan mengambil gambar. Nak tengok gambar boleh google. Nak senang? sila klik sini

Apa yang ramai dok tengok kat dalam cermin kedai Mazapanes Santo Tome ni? Jom Terjah.

Miniatur menunjukkan cara pembuatan konfeksi secara traditional rupanya..

Produk jualan kedai Mazapanes Santo Confectioneries. di Calle Santo Tome

Binaan asal gaya Mudéjar ('Arabic Moors') yang telah diubahsuai di Calle Santo Tome

Emmm tengok nak rumah ke nak tengok moto? 2001 BMW F 650 GS? Plaza Ayuntamiento 

Adoi penat+letihnya kaki yang tak fit ni! Apa baru separuh jalan?. Nampak apa yang berbeza di  Plaza del Ayuntamiento? 
Dihadapan Infomation Centre, Ayuntamiento Centralita Plaza Consistorio

Ayuntamiento Centralita Plaza Consistorio dan Cathedral Toledo

Salah satu pintu masuk Cathedral Toledo di sebelah Calle Cardenal Cisneros

Teatro de Rojas Plaza Mayor

Binaan gaya Mudéjar ('Arabic Moors')  berbentuk ladam kuda masih dikekalkan dalam keadaan asal di Plaza Magdalena

Binaan gaya Mudéjar ('Arabic Moors')  dibahagian atasnya masih dikekalkan di Plaza Magdalena

Plaza de Zocodover adalah dataran utama Toledo. Pada asalnya, menjadi pusat perdagangan orang Arab (Zocodover bermaksud "pasaran haiwan"). Telah musnah dalam kebakaran pada kurun ke-16 dan dibina semula juga mengalami pengubahsuian seperti kelihatan sekarang sehingga lebih dkenali sebagai Zocodover Square

Pemandangan sekitar Plaza Zocodover, terdapat deretan kedai cenderamata, kafe dan restoran

Pemandangan sekitar di Plaza Zocodover, terdapat deretan kedai cenderamata, kafe dan restoran

Sampai ke Eskalator Zocodover untuk turun ke parkir bas pelancong

Para peserta bergambar untuk kenangan selepas mengakhiri lawatan di bandar lama Toledo.

Sebelum menuruni Eskalator Zocodover, melihat dulu bandar baru Toledo

Kemuncak tertinggi dengan kubah hitam merupkan Colegio San Juan Bautista

Puente de Azarquiel merentangi Rio Tajo


Alhamdulillah setelah berjalan kaki hampir atau lebih 5 km, selamat sampai kembali ke bas.  

Lawatan di kota lama Toledo selesai dalam pukul 1:30 tengahari. Dalam masa yang agak terhad, agak sukar untuk melihat keseluruhan khazanah sejarah yang tersimpan di kota lama Toledo ini, di mana mempunyai hampir 30 muzium termasuklah  Mosque of Cristo de la Luz dan Mosque of the Tornerias yang di bina pada kurun ke-10 dan -11.

 Jejak sejarah Andalusia diteruskan lagi. Kami bergerak pula ke Cordoba yang terletak 340 km ke selatan Toledo. Sebelum menuju Cardoba, singgah makan tengahari terlebih dahulu di restoran Doner Kebab di sebuah pusat beli belah berdekatan. Diatas kota lama Toledo juga terdapat restoran halal Doner Kebab Al-Madina terletak di Calle Real del Arrabal, 8, di hujung persimpangan Subida Granja dari Toledo Escalator (lebih kurang 500 m). Pada pukul 8:15 malam sampai di Cordoba, dan mendaftar masuk di AC Hotel Cordoba, Avenida de la Libertad, Cordoba. Sebahagian besar peserta menginap di Ayre Hotel Córdoba, Calle Poeta Alonso de Bonilla.

Deretan pokok-pokok (ladang-ladang) zaitun sepanjang lebuhraya ke Cordova menjadi pemandangan biasa


Kemalangan baru berlaku melibatkan pemandu kereta wanita dan penunggang motorsikal wanita di persimpangan depan AC Hotel Cordoba ketika kami baru sampai. Nampaknya polis cepat sampai untuk 'accident scene managment'

Sekejap sahaja ambulan sudah sampai.


Route Madrid-Toledo-Cordoba yang dilalui (laluan khas untuk bas mungkin sedikit berbeza)


Terima kasih kerana melayari blog ini.

Wassalam,

Fauzy
Dinukilankan pada 15 Disember 2016

Like This Blog:     Follow@Twitter:  

Kembali ke Pendahuluan    ⟺    Bersambung hari ke-3

No comments:

Post a Comment