18th - 19th March 2017 (2 hari satu malam)
Sambungan dari Hari 01
Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera
HARI 02 (19/03/2017):
Pulau Sembilan (@Pulau Lalang)
Pukul 5:00 pagi, hujan lebat melanda Pulau Sembilan. Hendak tarik selimut tiada pula. Cuma risau kalau terdapat limpahan air dari tebing bukit meresap masuk ke kawasan perkhemahan, namun tiada apa-apa berlaku tetapi tidak tahu pula kepada khemah yang lain. Ada juga terdengar khemah peserta yang dimasuki air, mungkin dari limpahan takungan kanopi. Oleh kerana sudah terjaga, maka tidur-tidur ayam dulu. Pukul 6:30 pagi, sudah bangun dan terus pergi mandi dekat bilik mandi sementara sebelah tapak perkhemahan.
Selamat pagi Pulau Sembilan! Matahari terbit dari arah Bagan Datoh sekitar 7:22 pagi, tetapi sayang tidak dapat melihat kemunculannya kerana keadaan awan yang agak mendung disebelah ufuk timur di waktu pagi. Bersiar-siar di pantai di waktu pagi dan duduk bersantai menikmati suasana pagi tatkala sang suria mula kelihatan. Apa topik perbualan yang menarik pagi-pagi ini? Bak kata si Michael " Malam tadi macam kat Stesen Keretapi" ha ha ha merujuk kepada dengkuran penghun-penghuni khemah semalam. Tengah musim cuti sekolah, khemah agak padat atau bersebelahan satu sama lain. Lagi pun terdapat pengunjung lain juga berkongsi tapak perkhemahan. Mungkin kurang 'privasi' sikit, tetapi itulah kenangan bila berkhemah secara kumpulan. Sebelum ke sarapan, berkemas siap-siap, jadi bawa beg sekali ke tempat sarapan.
![]() |
| 7:24 Pagi: Good Morning Pulau Sembilan |



