Sunday 9 April 2017

Klawang Sunday Ride Sampai Pedas Layan Sabak Salai

KLAWANG SUNDAY RIDE (09/04/2017) SAMPAI PEDAS LAYAN SABAK SALAI

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera

 Alhamdulillah, hari ini berkesempatan ride hujung minggu melayan Klawang (Kuala Kelawang) hingga sampai Pedas untuk makan tengahari di kedai makan Resipi Sabak Salai yang terkenal dengan masakan produk bersalai. Ride hujung minggu ini berlainan sedikit dari kebiasaan.

Sabak Salai, Pedas, Negeri Sembilan




Route hari ini:
 Dari Kuala Kelawang mengikuti Pantai terus ke Ampangan, seterusnya memasuki Lebuharaya PLUS dan keluar di Pedas. Balik ikut Lebuhraya PLUS, keluar melalui Nilai, memasuki Lebuhraya LEKAS. Jarak perjalanan mencapai 210 km dengan hentian mengisi di Hentian Rehat dan Rawat Seremban.



10:10 AM: Petronas Lebuhraya Cheras - Kajang
Seperti biasa agenda hujung minggu tetap berjalan jika tiada halangan. Tempat permulaan bagi mengisi minyak dan memeriksa tekanan tayar. Tayar depan dan belakang Pirelli Diablo Rosso Corsa dengan tekanan angin 33PSI depan dan 35PSI belakang.

Sumber. Motorcycle Tyres UK

Petronas Lebuhraya Cheras - Kajang


10:45 AM: Tiba di Genting Peras (hala Kuala Kelawang)
Sepanjang Stage 1 dan Stage 2, tiada berselisih kelibat moto-moto. Agaknya hari ini ramai pergi melefer ke Awana atau Genting sempena 'Genting Bike Fest'. Tiba di Genting Peras baru nampak satu grup.

Genting Peras


11:00 AM; Tiba di Klawang Pit Stop
 Ketika sampai, tiada grup moto langsung. Kebiasaanya sentiasa ada grup-grup moto berhenti di sini. Tidak lama kemudian, baru ada 2-3 grup moto yang baru tiba. Dalam 11:30 AM bertolak dari Klawang Pit Stop menuju ke Pedas.

Klawang Pit Stop

'Team Blue Suzuki'. Semalam member pergi AGM Gixxer di Janda Baik. Hari ini 'permit' nak ride dah tak lulus.


12:50 PM: Tiba di Kedai Makan Resepi Sabak Salai, Pedas, Rembau, Negeri Sembilan
Selepas menempuh perjalanan sejauh 75 km, akhirnya tiba di Kedai Makan Resepi Sabak Salai terletak di Kampung Kundur Hulu, Pedas, Rembau, Negeri Sembilan. Ketika sampai, orang tidak ramai sangat, mungkin sudah agak tengahari. Tetapi makin banyak pula kereta yang berhenti. Pak cik yang menjual cendol dan ABC tempat saya parkir moto tu bilang tadi sudah ada satu grup moto dari Johor baru bergerak balik.

 Negeri Sembilan terkenal dengan menu masak lemak cili api dan amat sinonim dengan produk makanan salai. Hari ini hendak pekena masakan pedas asli Negeri Sembilan. Tempat hendak makan pun terletak di Pedas. Sepanjang perjalanan dari Jelebu melalui Pantai sememangnya terdapat banyak gerai-gerai di tepi jalan menjual produk makanan salai. Kebiasaannya banyak kedai-kedai makan sekitar Kajang dan Bangi yang menyediakan hidangan masak lemak cili api dengan daging atau ikan keli salai.

 Walau bagaimana , saya ingin mencuba sendiri hidangan yang terdapat di kedai makan Sabak Salai, apa lagi setelah menonton rancangan travelog santai 'Mat Dan Kaki Jalan' episod 12.

Kedai Makan Resepi Sabak Salai
Saya rasa tidak perlu cerita apa ada atau keistimewaan kedai makan Resepi Sabak Salai. Sudah banyak mendapat liputan media massa seperti Utusan Malaysia, Harian Metro, Kosmo dan juga blog-blog jalan-jalan cari makan. Bahkan terdapat juga rancangan-rancangan TV yang berkunjung ke sini sebelum ini seperti RTM TV1. Ketika saya berada di sini, tuan punya kedai sedang sibuk di temuramah oleh krew TV3. Katanya ada satu artis baru habis 'shooting' rancangan makan-makan.

 Bagi yang belum pernah ke sini. Lokasi Kedai makan Resepi Sabak Salai terletak di alamat No. 13, batu 5 1/2, kampung Hulu Kundur, Pedas, Negeri Sembilan, dapat di kunjungi dengan menyusur keluar melalui Exit Pedas Linggi dari Lebuhraya PLUS. Apabila berada dipersimpangan tiga (hati-hati tiada lampu isyarat) selepas tol Pedas, membelok ke kanan hala ke Linggi. Terus perjalanan kira-kira 2 km, kedai makan terletak disebelah kiri dengan kain rentang  SABAK SALAI yang besar jelas kelihatan. Lokasi kedai ini telah operasi sejak awal tahun 2014, Restoran ini dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang kecuali hari Isnin ditutup.

Sekitaran Kedai
Kedai makan betul-betul terletak di tepi jalan besar. Nampak 'simple' macam kedai-kedai makan biasa kelihatan tepi jalan. Jom tengok persekitaran lokasi kedai supaya tidak 'miss' tempatnya kalau hendak ke sini.

Kedai Makan Resepi Sabak Salai

Jalan menuju ke Pedas, 9 km dari Kedai Makan Resepi Sabak Salai.

Kedai makan Resepi Sabak Salai di bawah mana kala sebelah atas ada gerai menjual cendol dan ABC.

Kalau dari Tol Pedas menuju Linggi, dalam 2 km perjalanan, Kedai makan Resepi Sabak Salai di sebelah kiri

Sebenarnya ada dua kedai iaitu Resepi Sabak Salai dan gerai Cendol Kak Bed yang menjual cendol, ABC dan air tebu.

Kedai makan Resepi Sabak Salai dari arah Linggi


Produk makanan Salai
Perniagaan Kedai Makan Resepi Sabak Salai dan produk makanan salai menggunakan jenama TaQdir didaftarkan atas nama Taqdir Enterprise dan mendapat galakan penuh daripada FAMA. Asal perniagaan bermula dengan membekal dan mengedar produk berasaskan ayam kampung, daging lembu, itik, ikan keli/sembilang dan puyuh yang disalai menggunakan sabak. Jom tengok produk-produk ditawarkan.

Sudut jualan produk berasaskan sabak

Daging salai No.1 di Malaysia
Aroma salai dijamin kebersihan

Kaunter jualan sedia melayan
Pelbagai produk sabak salai, daging, ayam, itik da lain-lain

Dagng salai pek 500gm (RM50), Pek 170 gm (RM15) dan pes masak lemak (RM5)

Senarai harga produk sabak salai


Sabak (Tempat Salai)
Apakah sabak? Sabak ialah sebuah rumah asap (smokehouse) atau tempat menyalai yang diperbuat daripada batu bata secara tradisionalnya. Di sini lah tempat menyalai produk daging, ikan keli, ayam kampung, itik dan burung puyuh. Produk salai yang disalai menggunakan sabak mempunyai rasa dan aroma yang tersendiri. Produk salai ini juga merupakan makanan yang sihat kerana tiada minyak, tiada garam dan semestinya kurang kalori. Produk ini hanya disalai menggunakan kaedah pengasapan secara tradisional daripada arang, kayu dan tempurung kelapa. Hanya kayu api dari pokok tertentu sahaja dipilih seperti kayu pokok bidara, rambutan dan langsat digunakan untuk menyalai.

 Sabak sebenarnya berfungsi untuk melembut dan melembabkan daging seperti itik yang terkenal dengan liatnya ketika dimasak. Rasanya kekal walaupun proses menyalai mengambil masa tiga jam dalam suhu 70 hingga 80 darjah Celsius. Tempoh menyalai bagi setiap produk mengikut masa yang berbeza seperti daging mengambil masa selama empat jam, ikan sembilang selama dua setengah jam, burung puyuh pula setengah jam dan ayam kampung selama dua jam. Ikan pun ambil masa yang lama? Ini kerana ia bertujuan mengeluarkan minyak pada ikan tersebut. Sabak digunakan dapat menyediakan 100 penyepit makanan disalai setiap hari. Jom tengok tempat sabak.

Inilah dia sabak, yang besar dah moden sikit. Yang lama masih terdapat disebelahnya. Salah seorang pekerja tengah bagi penerangan dekat saya.

Itik ini sudah disalai dari pukul 11:00 pagi tadi.

Sabak atau rumah asap (smokehouse) 
Sabak atau rumah asap (smokehouse)

Duduk depan sabak atau rumah asap (smokehouse) dengan full suit ha ha  panas berasap la 


Menu Hidangan Salai
 Menu hidangan utama produk salai berasaskan daging, ikan keli, ayam kampung, itik dan burung puyuh. Hidangan salai paling popular adalah dimasak lemak cili padi seperti daging salai dan keli salai, manakala rendang pula itik salai. Terdapat juga masakan bergoreng seperti ayam goreng, keli goreng, puyuh goreng. Sedap ke tidak, jangan tanya. Perut dah berkeroncong lapar nak makan. Baik datang sendiri mencuba. Kalau kena selera sudah tentu 'marbelous'. Kalau seribu yang datang makan kata sedap, kita seorang kata tidak sedap sebab tak kena dengan selera tekak, susah juga tu.

Berkonsep layan diri. Boleh ala carte atau letak lauk asing. Nanti pelayan datang kira di meja makan.

Gulai  daging salai masak lomak cili api (RM6.00/sendok) dan masak lomak cili api keli salai (RM6.00/ekor)

Rendang itik (RM7.00-8.00/ketul)

Ayam goreng, keli goreng, puyuh goreng (RM3.00-3.50)

Menu pilihan daging salai masok lemak cili api dengan rendang itik dengan air kosong dalam RM12.50. Cendol Kak Beb RM3.00

Nyam nyam, pekena daging salai masok lemak cili api dengan rendang itik.


01:45 PM bertolak balik
 Setelah selesai menjamu selera dan membeli produk makanan salai untuk dibawa pulang, sudah tiba masa untuk bergerak pulang. Saya rasa, kedai makan Sabak Salai ini mungkin belum menjadi port popular bagi bikers Lembah Kelang, tetapi mungkin agak popular bagi bikers dari selatan tanah air yang akan singgah di sini ketika melalui Pedas.

 Walau pun kedai makan ini masih baru berkecimpung atau bertapak dalam dunia perniagaan tetapi hasil kegigihan pengusahanya akan menjejaki kejayaan seperti dilalui oleh Lemang To'Ki Bentong hasil sokongan para bikers sebagai tempat santai atau persinggahan bagi bikers melayan Karak, Awana-Genting-Bukit Tinggi atau menuju Cameron Highlands melalui Sg Koyan dan juga Restoran Nasi Bamboo Sungai Klah, Sungkai bagi bikers yang menuju ke utara atau pulang dari Cameron Highlands.

Beli 3 pek daging salai 170gm dengan pes masak lomak. 

Depa suruh saya duduk kat dalam kaunter pula. Mari-mari daging salai numero uno.. ha ha 


02:10 PM: Tiba di Petronas R&R Seremban North Bound
Menghampiri Seremban, selepas beberapa kali sendawa dalam helmet, odometer sudah melepasi perbatuan 200 km. Ada lagi 40 km hendak sampai Kajang. nampaknya kena singgah isi minyak dulu dekat R&R Seremban. Ini gara-gara melayan LEKAS disebabkan kebiasaan, terlupa sekejap hendak ke Pedas. Ketika menghampiri persimpangan Ampangan dari Pantai tadi terbelok masuk ke Lebuhraya LEKAS pula. Jadi berpatah balik selepas persimpangan Setul. Pergi balik sudah 20 km. Sebenarnya boleh juga terus sahaja dari persimpangan Setul ke Lebuhraya PLUS.

02:45 PM: PETRONAS Prima Saujana 1, Kajang.
Alhamdulillah selamat sampai di Kajang. Cuaca baik sepanjang perjalanan, walaupun semakin mendung hendak hujan di Kajang.

Terima kasih kerana melayari blog ini.

Wassalam,

Fauzy

Follow@Twitter:  
View web version if you have problem in viewing mobile version

No comments:

Post a Comment