RIDE SOLO DARI LEMANG TO'KI BENTONG PEKENA TEH DAN STRAWBERI CAMERON HIGHLANDS
08/03/2017 (Rabu)
Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera
Pagi-pagi lagi sudah sarapan dekat Kak Su Nasi Kerabu, lepas hantar anak gi sekolah. Duduk makan nasi kerabu, dok fikir apa nak buat hari ini. Kerja beres doh, hok baru dok masuk lagi. Hari ini Rabu pulok sekolah ada ko-ko, pakat balik petang belaka. Rasa nok jalan jauh sikit, tapi nok gi tang mana. Nok ajok hok lain pakat gi kerja belaka, nampak gaya ambo jalan sorang-sorang.. ha ha baca ikut loghat irama lagu tema
Mat Dan Kaki Jalan (Lagu "Mok" (Emak) dalam loghat Terengganu).
|
Kedai Kak Su Nasi Kerabu, Batu 12, Jalan lama KL-Kajang. |
|
Sarapan selera Pantai Timur. Macam-macam ada seperti dipapar dekat papan tanda diluar kedai. |
|
Kuih muih pun ada |
|
Senarai harga makanandekat di kedai makan Kak Su Nasi Kerabu |
|
Sarapan nasi kerabu ikan goreng celup tepung.. |
Lepas sarapan, mula-mula ingat nak pekena lemang To'ki kat Bentong, tapi terus terlajak ke Sungai Koyan sampai Cameron Highlands. Dari Petronas Prima Saujana pukul 8:45 pagi, ikut laluan Silk-Besraya ke Sungai Besi Highway untuk terus ke Tol Gombak. Kurang sikit kesesakan trafik. Sebelum masuk dan keluar dari Sungai Besi Highway biasalah trafik sesak sikit.
Route Merayap
Mula (Jarak/Jumlah): Kedai Kak Su (sarapan) / PETRONAS - Prima Saujana (Check angin tayar)
Hentian 1 (101 / 101 km): Petronas Bentong 1 (Re-fuel)
Hentian 2 ( 9 / 110 km ): Lemang To'ki, Bentong (Minum pagi)
Hentian 3 ( 83 / 193 km ): Petronas Sungai Koyan 3 (Re-fuel)
Hentian 4 ( 81 / 274 km ): Petronas Ringlet (Re-fuel)
Hentian 5 ( 8 / 282 km ): Cameron Valley (Teh tarik)
Hentian 6 ( 17 / 299 km ): BOH Sungai Palas Tea Centre (Minum Petang)
Hentian 7 ( 24 / 323 km ): Green View Garden (Strawberry Dessert)
Hentian 8 ( 98 / 421 km ): Petronas Tapah (Re-fuel)
Tamat (164 / 585 km ): Petron Grand Saga
Route KL-Cameron Highland menerusi Sungai Koyan seperti dalam 'Google Map' di bawah:
|
Ketinggian (Elevation) |
Gambar-gambar semasa perjalanan pergi Kajang-Bentong-Sungai Koyan-Cameron Highlands
Petronas Bentong 1 (Benus)
Dari Tol Gombak sampai susur keluar Bentung Timur. Cuaca baik dan jalan pun lenggang, boleh layan leferen LPT dulu. Singgah isi minyak dekat Petronas Kg Benus dulu, Dari Kajang minyak ada lagi separuh, jadi jalan dulu. Dalam pukul 10:15 pagi mula gerak ke To'Ki pula.
|
Lepas layan Karak, tambah minyak dulu, dari Kajang dah ada setengah tangki. 10:15 pagi gerak ke To'Ki pula |
Lemang To'ki Bentong
Dalam 10:25 pagi sampai ke Lemang To'Ki Bentung dengan perjalanan lebih kurang 100 km dari Prima Saujana Kajang. Santapan minum pagi, lemang cicah rendam daging.
Ride kali terakhir ke sini dulu kempunan tak dapat makan lemang. Mula-mula ingat nak ride sampai di sini sahaja. Tak pun patah balik naik Genting Highlands. Lepas tu 50-50 rasa nak layan Sg Koyan-Cameron Highlands. Ramalan cuaca nampak elok. Teruskan sahaja perjalanan ke Cameron Highlands. Belum pernah ride solo melalui Sg Koyan - Cameron Highlands. Memohon doa semoga dipermudahkan urusan serta dijauhi sebarang musibah, dan dalam pukul 10:50 pagi mula gerak ke Sg Koyan pula.
|
10:25 pagi sampai ke Lemang To'Ki Bentung |
|
Orang tak ramai nak parkir motor pun senang. Ada juga bikers baru sampai lepas tu |
|
Lemang dan ayam masih dok bakar. |
|
Santapan minum pagi, lemang cicah rendam daging. Kali terakhir ke sini dulu kempunan tak dapat makan lemang. |
Bentong - Raub - Sungai Koyan
Selepas 83 km perjalanan, tiba di Sungai Koyan sebelum pukul 12:00 tengahari. Ada yang melabel sampai sini dari Raub sebagai 'Stage 1'. Dari simpang masuk Jalan Ringlet-Sungai Koyan pula sebagai sebagai permulaan 'Stage 2'. Sebelum persimpangan ini, banyak kedai makan dan juga ada stesen minyak Petron. Kebiasaanya grup bikers banyak berhenti makan tengahari kat sini dulu dan mengisi minyak. Tetapi kalu tiba awal, boleh makan tengahari di Cameron Highlands. Tapi perut rasa masih kekenyangan lagi. Jadi terus lajak ke depan dalam 1 km selepas simpang untuk ke Petronas Sungai Koyan dahulu. Trip lepas-lepas menjadi tempat isi minyak di Sungai Koyan sebelum masuk simpang ke Pos Betau. Sudah beberapa kali melayan Jalan Ringlet-Sungai Koyan tetapi sudah agak lama tidak ke sini. Kali terakhir pada bulan Februari 2013 dengan grup OilerBikerz. Dalam 12:05 tengahari mula gerak ke Pos Betau.
Sedikit info berkenaan Route 102 Jalan Pos Betau-Lembah Bernam (Jalan Ringlet-Sungai Koyan).
Pembinaannya bermula pada tahun 1999, telah dibina secara berperingkat-peringkat sehingga siap sepenuhnya pada Mac 2010 dengan jumlah kos RM806 juta. Kilometer sifar terletak di Ringlet. Jalan sepanjang 80 km ini merupakan jalan terus ke Cameron Highlands melalui negeri Pahang. Sebelum ini terpaksa melalui Lebuhraya Timur-Barat Kedua dari Gua Musang, Kelantan atau terdahulunya melalui route 59 daripada Tapah, Perak. Manakala Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka secara rasmi pada 14 Mei 2004, merupakan pakej pertama Lebuhraya Timur-Barat Kedua.
|
Tiba di Sungai Koyan sebelum simpang masuk Jalan Pos Betau-Lembah Bernam ke Cameron Highlands. Lajak ke depan dalam 1 km untuk ke Petronas Sungai Koyan dahulu. |
|
Isi minyak di Petronas Sungai Koyan, 12:00 tengahari mula gerak ke Pos Betau |
|
Tu jarak nak sampai ke Ringlet dari Sungai Koyan melalui Pos Betau |
Sungai Koyan - Pos Betau
Ride santai alon-alon layan korner dalam jarak 20 km sehingga melepasi Pos Betau dalam pukul 12:20 tengahari. Keadaan jalan keseluruhannya berkeadaan baik tetapi ada tempat-tempat tertentu yang beralun. Selepas dalam 7-8 selekoh (dalam 2 km lebih) selepas Pos Betau (Rest Area Betau), saya berhenti seketika di satu selekoh yang menjadi sejarah 'kurang manis' buat saya. Barang yang lepas jangan dikenang kata P. Ramlee. Dikhabarkan selekoh ini 'agak tricky' bagi yang kurang biasa dengan laluan ini. Orang kampung Santoi (perkampungan orang asli kat sini) kata selekoh ni 'keras' sikit, banyak motor jatuh atau terbabas kat sini. Nak tahu kenapa, saya citer kat gambar di bawah. Semoga rider-rider lebih berhati-hati ketika mengambil selekoh ini.
|
Selekoh Kg Santoi selepas dari Pos Betau hala ke Ringlet. Keseluruhan selekoh terdapat cat garisan kuning dari entry line, apex dan exit line. Dekat apex jalan beralun, selepas apex, sudut kemiringan jalan berubah arah kanan memasuki selekoh seterusnya. Gambar dari Google View tahun 2013. |
|
Keadaan jalan masih sama. Dari sini boleh lihat keadaan jalan termasuk railing yang agak mendap dekat apex. |
|
Dari sudut berbeza keadaan jalan termasuk railing yang agak mendap dekat apex. |
|
Selekoh ini belum habis, masih kena lean ke kanan sebelum ke kiri. Kalu diperhatikan pada railing itu sudah ada hentaman atau tinggalan 'marking' (lekuk) dekat railing hadapan sikit. |
Post Betau - Bukit Petubung - Kg. Susu
Selepas selekoh Kg Santoi hingga Bukit Petubung seterusnya ke Kg Susu, jalan berkeadaan baik. Dari Bukit Petubung, perjalanan melalui beberapa jambatan dengan pemandangan menarik. Jambatan (ditandakan sebagai 'Bridge5' dalam peta di bawah) sebelum sempadan Kuala Lipis-Cameron Highlands merupakan struktur agak besar melalui lereng bukit, agak panjang dan berselekoh. Kebiasaanya grup-grup bikers akan berhenti di sini seketika untuk bergambar.
|
Dari Bukit Petubung hala ke Ringlet terdapat beberapa jambatan dengan pemandangan panorama menarik. |
|
Bridge2: Tiba dalam 12:40pm, pemandangan hala Sg Koyan |
|
Bridge2: Pemandangan hala Sg Koyan. Terdapat penempatan baru masyarakat Orang Asli disini. |
|
Bridge2: Hala ke Ringlet |
|
Bridge2: Dari sini dapat melihat Bridge4 |
|
Bridge4: Tiba 12:45pm. |
|
Bridge4: Dari sini dapat melihat Bridge2 |
|
Bridge4: Dari sini dapat melihat Bridge2 |
|
Bridge4: Pemandangan panorama dengan Bridge2 |
|
Bridge4: Hala ke Ringlet |
|
Bridge5: Tiba 12:50 tengahari. Pemandangan hala Sg Koyan |
|
Bridge5: Jambatan melengkung dengan selekoh di kedua-dua belahnya |
|
Bridge5: Hala ke Ringlet |
|
Penghujung Bridge5 dilihat dari sempadan daerah Kuala Lipis-Cameron Highlands (hala Sg Koyan) |
|
Sempadan daerah Kuala Lipis-Cameron Highlands selepas Bridge5 (hala Ringlet) |
|
Mercu tanda "Welcome to Cameron Highlands" selepas sempadan daerah. |
Kg. Susu - Lembah Bernam dan Empangan Susu (Susu Dam/Reservoir)
Ketika menghampiri Kg. Susu kelihatan satu struktur besar merentangi lembah atau aliran Sungai Bertam dan masih terdapat kerja-kerja pembinaan di kawasan sekitarnya. Apabila tiba di struktur tersebut, ianya merupakan Empangan Susu yang membentuk tasik buatan. Empangan ini merupakan sebahagian dari projek loji
Janakuasa Hidroelektrik Ulu Jelai yang mula dibina dalam fasa 1 pada oktober 2010, dikuti fasa kedua pembinaan loji janakuasa pada Mac 2011 dengan kos keseluruhan
RM4.2 bilion. Loji ini sudah mula beroperasi tahun ini. Jadi kelihatan banyak
penempatan-penempatan baru dibina untuk masyarakat Orang Asli disini sebagai pampasan akibat pengambil alihan kampung asal mereka.
|
Gambar Empangan Susu ketika pembinaan bermula pada tahun 2010. Sumber foto: Salini Impregilo |
|
'V' bergambar dengan Empangan Susu |
|
Empangan Susu |
|
'V' bergambar dengan Empangan Susu |
|
Empangan Susu. Banyak bahan kelodak terampai berbanding gambar diambil Ogos 2016. |
|
'V' bergambar dengan Empangan Susu |
|
'V' bergambar dengan Empangan Susu |
|
'V' bergambar dengan Empangan Susu |
|
Saya dan 'V' selfie dengan Empangan Susu. Mana tahu dimasa hadapan tempat posing dah tutup untuk orang awan |
|
'V' bergambar dengan Empangan Susu |
|
'V' bergambar dengan Empangan Susu |
|
Empangan Susu |
|
Empangan Susu. Terdapat perangkap lumpur untuk mengawal bahan kelodak terampai, Adakah ia akan mengalami nasib yang sama seperti Tasik Ringlet? |
Lembah Bertam - Ringlet
Dalam 1:20 tengahari mula tiba di kawasan pertanian Lembah Bertam. Terasa udara semakin sejuk dan nyaman. Pemandangan tipikal di Lembah Bertam di penuhi kawasan-kawasan pertanian dilereng-lereng bukit hingga ke lembah sungai terutamanya penanaman sayur-sayuran dan pokok-pokok bunga.
|
Tiba di Lembah Bernam |
|
Lembah Bertam di penuhi kawasan pertanian terutama penanaman sayur-sayuran dan pokok-pokok bunga. |
|
Pemandangan tipikal di Lembah Bertam di penuhi kawasan pertanian dilereng-lereng bukit hingga ke lembah sungai |
Dalam 1:30 tengahari tiba di Pekan Lembah Bertam. Saya membelok dan berhenti disalah satu jambatan kecil yang merentangi Sungai Bertam betul-betul bersebelahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Valley. Kenapa saya berhenti sini? Kawasan ini pernah dilanda tragedi banjir lumpur antara terburuk pada
November 2014 akibat limpahan deras air Sungai Bertam. Bencana banjir lumpur di sekitar Lembah Bertam berlaku berikutan keadaan hujan lebat berterusan menyebabkan empangan Bertam terpaksa dibuka.
|
Jambatan kecil yang merentangi Sungai Bertam berhadapan Dewan Orang Ramai Lembah Bertam. |
|
Jambatan kecil yang merentangi Sungai Bertam betul-betul bersebelahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Valley. |
|
Jambatan kecil yang merentangi Sungai Bertam dengan pemandangan Pekan Lembah Bernam |
|
Tinjauan udara banjir lumpur di sekitar Lembah Bertam pada November 2014. Bangunan tinggi ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Valley. Foto BERNAMA |
|
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Valley ketika dilanda banjir lumpur pada Nov 2014. Foto BERNAMA |
Seterusnya tiba di Petronas Ringlet dalam pukul 1:40 tengahari untuk mengisi minyak terlebih dahulu. Sepanjang 80 km perjalanan dari Sungai Koyan rasanya saya satu-satunya rider dok melefer 'Stage 2'. Jalan lenggang cuma sekali-sekala ada kereta. Cuaca baik sepanjang jalan. Syukur Alhamdulillah selamat sampai di Ringlet. Seterusnya nak melayan 'Stage 3' la pula dari Ringlet sampai Blue Valley, tapi ada tempat-tempat hendak singgah terlebih dahulu.
|
Seterusnya tiba di Petronas Ringlet dalam pukul 1:40 tengahari untuk mengisi minyak terlebih dahulu. |
Tasik Ringlet
1:45 petang, singgah sebentar bergambar dengan The Lakehouse Hotel, penginapan yang esklusif ala Inggeris atas bukit dengan pemandangan Tasik Ringlet. Dari dulu, teringin nak naik keatas untuk melihat sekitarnya tetapi selalu terlupa.
|
Singgah bergambar dengan The Lakehouse Hotel. |
|
The Lakehouse, sebuah 'country house' yang menarik diilhamkan dari warisan Inggeris kini menjadi hotel penginapan |
|
The Lakehouse Hotel, penginapan yang esklusif ala Inggeris |
|
Bazaar atau gerai-gerai menjual sayur-sayuran dan cenderahati berhadapan The Lakehouse |
Cameron Valley
1:55 petang, singgah di Cameron Valley Tea Shop 2. Terdapat ladang Teh milik
Bharat Tea Plantation yang terletak di pinggir jalan sahaja. Nikmati secawan teh tarik dulu sambil menghayati pemandangan panorama indah ladang teh yang mempersonakan apa lagi dengan udara yang nyaman sekadar melepas penat setelah melefer sejauh 90km dari Sungai Koyan. Mengimbas sejarah Cameron Highlands, nama itu diberikan sempena seorang juruukur Inggeris iaitu William Cameron yang menemui tanah tinggi tersebut ketika sedang membuat tinjauan pemetaan pada tahun 1885.
|
Gerbang masuk Cameron Valley, ladang teh milik Bharat Tea |
|
Cameron Valley Tea Shop 2. Hari biasa tidak banyak kenderaan. Tea shop kena turun tangga kat bawah |
|
Parkir pun di tepi jalan je.. |
|
Masa sampai, cuma ada 2 cupcai sahaja. Sempat jumpa pemilik Y15ZR biru tu. Katanya ride solo dari KL juga. |
|
Kedai cenderahati, boleh order teh minum kat meja disediakan sambil tengok ladang teh kalau malas turun ke Tea Shop. Kat kedai ni, paling jelas, buah strawberi yang menjadi ikon Cameron Highlands dapat dilihat dijadikan pelbagai cenderahati berbentuk bantal, pakaian, rantai kunci hingga ke selipar. |
|
Tangga turun ke Cameron Valley Tea Shop 2. |
|
Order teh tarik istimewa Cameron Valley |
|
Minum dulu dengan udara sejuk dan nyaman sambil menjamu mata tengok ladang teh |
|
Pemandangan panorama ladang teh milik Bharat Tea |
|
Pemandangan panorama ladang teh milik Bharat Tea .Ada air terjun yang terletak di tengah ladang |
|
Pemandangan panorama ladang teh milik Bharat Tea. Ada 'mini train' untuk melawat sekitar ladang dari sini dengan kadar bayaran RM10. |
|
Minta tolong dengan satu geng bikers tolong ambil gambar. |
|
Ini lah dia geng biker 10 orang anak-anak muda, katanya datang dari KL juga melalui Tapah. Terbaik.. sempat ride sekali semasa kat Brinchang sebelum ke Sg. Palas. Semoga semua selamat sampai ke destinasi. |
|
Tukar jurugambar pulak nak masuk posing juga. Sempat bagi alamat blog, kalu nak tengok gambar ini. |
|
Inilah jentera mereka, tujuh buah rasanya termasuk 5 Cupchai. Semangat biker kental |
|
Baju biru tu pun salah seorang rakan mereka. 2:30 petang, gerak ke Tanah Rata |
Pekan Brincang
|
2:55 petang, berhenti sekejap dekat bekas tapak pasar malam Pekan Brinchang. Deretan kedai-kedai depan tu banyak jual cenderahati. Lokasi Tapak Pasar Malam Baru @ Sungai Ruil @ Golden Hill bermula Februari lepas. |
|
Pemandangan Pekan Brinchang, lupa pula kat sini ada stesen minyak Petronas. Boleh isi di sini kalu tidak mau berhenti di Ringlet. |
Pasar Kea Farm
Kea farm adalah pusat utama jualan sayur-sayuran untuk pelancong malah ianya berada di atas puncak tertinggi laluan utama Cameron Highland sebelum menuruni semula samada ke Brinchang atau ke Tringkap. Pusat jualan ini hanya terletak di pinggir jalan dan menyebabkan kesesakan yang amat teruk di musim percutian. Singgah beli strawberi di sini dahulu sebelum ke Sungai Palas.
|
3:00 petang. Pinggir jalan dekat Pekan Kea Farm ada banyak gerai-gerai jualan hasil pertanian hingga cenderahati. Nampak satu gerai jual buah strawberry. Jadi singgah sekejap |
|
Inilah dia buah strawberry ikon Cameron, ada menu pelbagai berasaskan buah strawberry. |
|
3 paket RM20 percuma satu paket saiz kecil. Ok lah dik kasi bungkus |
|
Kasi tapau buat buah tangan masuk tong. Dah dapat mesej dari rumah jangan lupa bawa balik buah strawberry |
BOH Sungai Palas Tea Centre
Masa dekat Cameron Valley Tea Shop, dapat mesej dari sahabat biker yang pernah datang sekali ke sini kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Ya, pada 20/1/2007. Itulah kali terakhir sampai di sini rasanya. Pakai CBR900 redah hujan sampai sini. Masa tu jalan ke sini belum berturap lagi. Saya kata, saya akan singgah juga ke sini walaupun nampak cuaca dah mula mendung sedikit. Dalam 3:20 petang sampai juga di
BOH Sungai Palas Tea Centre.
Sedikit info ladang teh BOH ini. BOH Plantations telah ditubuhkan pada tahun 1929 oleh J.A. Russel, seorang ahli perniagaan British semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Merupakan ladang teh terbesar di Asia Tenggara. Sg Palas BOH TEA Plantation juga menawarkan lawatan dengan jurupandu ke kilang secara percuma untuk melihat bagaimana daun teh diproses.
|
Dalam 3:20 petang sampai juga di Boh Tea Centre Sungei Palas. |
|
Dapat parkir dekat dengan tangga ke tea shop. Kalau hujung minggu rasanya susah dapat parkir kereta di sini. |
|
Dari sini dah nampak tea shop |
|
Laluan dari Pintu Utama. Ada galeri sejarah Teh Boh, Kedai Teh dan kedai cenderahati. |
|
Tapi saya terus menuju ke Tea'Ria tea shop, nak cari meja kat anjung platform tu. Maklumlah ramai pelancong luar baru sampai |
|
Minum petang ala Inggeris, kali ini order teh 'O' BOH pulak dengan roti sosej. "BOH ada Ummph!" ha ha |
|
Dapat juga minum teh Boh terus dari kilang dengan suasana pemandangan panorama ladang teh BOH plantation dengan udara sejuk yang segar dan nyaman dengan ketinggian lebih 5000 kaki dari paras laut. |
|
Selfie sekejap. Dikalangan pelancong-pelancong luar yang datang kesini terdapat sorang mamat biker sesat ha ha.. |
|
Jom tengok pemandangan panorama ladang teh BOH pulak |
|
Pemandangan panorama ladang teh BOH Sungai Palas dari tea shop |
|
Pemandangan panorama ladang teh BOH Sungai Palas dari tea shop |
|
Pemandangan panorama ladang teh BOH Sungai Palas dari tea shop |
|
Pemandangan panorama ladang teh BOH Sungai Palas dari tea shop |
|
Terbaik la dapat juga sampai ke sini... |
|
'V' nak bergambar dengan pokok-pokok teh sepanjang jalan Sungai Palas balik ke Kea Farm/Tringkap |
|
'V' nak bergambar dengan pokok-pokok teh sepanjang jalan Sungai Palas balik ke Kea Farm/Tringkap |
|
'V' nak bergambar dengan pokok-pokok teh sepanjang jalan Sungai Palas balik ke Kea Farm/Tringkap |
|
'V' nak bergambar dengan pokok-pokok teh sepanjang jalan Sungai Palas balik ke Kea Farm/Tringkap |
|
'V' nak bergambar dengan pemandangan ladang teh BOH Sungai palas dari jalan Gunung Brincang balik ke Kea Farm/Tringkap |
Route balik dari Cameron Highland ke KL menerusi Simpang Pulai seperti dalam 'Google Map' di bawah:
Gambar-gambar semasa balik
Tringkap - Kg Raja - Blue Valley (Green View Garden)
Dari Tringkap langsung terus ke Kg Raja sehingga persimpangan Gua Musang-Simpang Pulai di Blue Valley. Dari Blue Valley menghala ke Simpang Pulai maka bermula lah 'Stage 4' pula, rasanya tidak lengkap jika tidak singgah di Green View Garden terlebih dahulu. Tempat yang mesti menjadi persinggahan setiap kali grup trip OilerBiker melalui jalan ini. Bahkan hujung minggu ramai biker rasanya akan bertemu di sini. Apa ada di sini? Jom tengok..
|
4:40 petang tiba di Green View Garden |
|
Sebelahnya ada Strawberry Moment Dessert Cafe. Milik Green View Garden juga. |
|
Jalan arah datang dari simpang Gua Musang-Simpang Pulai tadi. |
|
Ha ha inilah dia, kasi order aiskrim dengan strawberry untuk acara penutup. |
|
Strawberry dessert, aiskrim dengan strawberry yam yam.. Jom tengok ada apa dalam garden kat belakang tu pulak. |
|
pokok strawberry |
|
pokok strawberry |
|
pokok anggur |
|
pokok anggur tapi tiada buah |
|
Pokok-pokok bunga |
|
Pokok menjalar jadi hiasan membentuk gerbang |
|
Ladang strawberry, boleh petik dan bayar. |
|
Ladang strawberry, boleh petik dan bayar. Kena pandai pilih kan dapat yang masam je.. |
|
Sangkar burung pun ada |
|
Pokok menjalar dijadikan pintu gerbang |
|
Bunga lavender |
|
Kincir angin hiasan |
|
Pokok bunga |
|
Ruangan tengah garden dengan replica kincir angin |
|
Pokok daun merah dengan bunga merah |
|
Pokok hijau bunga kuning ha ha |
|
Gerbera |
|
Lavendar lagi |
|
Ladies Shoe? |
|
Pokok strawberry lagi |
|
Gambar terakhir di sini. dekat pukul 5:00 petang. Nak lefero Blue Valley-Simpang Pulau pulak.Cuaca dah mendung tu tapi belum hujan. |
Blue Valley - Pos Slim - Simpang Pulai.
Walaupun cuaca agak mendung, tiada hujan sepanjang perjalanan. Namun ada beberapa tempat sudah lembab di penghujung laluan mungkin selepas gerimis. Jalan pun lenggang, alon-alon ride santai layan korner.
Simpang Pulai-Tapah-KL-Kajang
5:30 petang mula masuk tol Simpang Pulai, PLUS highway menuju Hentian Tapah. Tiba dihentian Tapah dalam pukul 6:00 petang. Berhenti mengisi minyak di stesen Shell serta bersholat dahulu sebelum non-stop ride sampai ke Kajang. Sepanjang perjalanan, beberapa tempat baru lepas hujan, walaupun ada beberapa tempat melalui semasa hujan tapi tidaklah lebat semasa di Perak. 7:30 malam, exit di Damansara melalui Kerinchi Link. Seperti trafik agak sesak dari Federal Highway menuju Cheras sebelum memasuk Grand Saga.
Dari sarapan nasi kerabu di Kajang, minum pagi lemang To'Ki Bentung, teh tarik Cameron Valley, minum petang teh BOH Sungai Palas, strawberry dessert di Blue Valley, dan lebih 580 km perjalanan yang beratus liku tanpa masalah. Syukur, Alhamdulillah selamat sampai rumah dalam pukul 8:00 malam. Terima kasih kepada semua sahabat OB dan rakan bikers yang mengutuskan mesej mendoakan keselamatan saya sepanjang perjalanan ride solo ini.
|
Jumlah jarak perjalanan mengikut Odometer sampai rumah |
Terima kasih kerana melayari blog ini.
Wassalam,
Fauzy
View web version if you have problem in viewing mobile version
Follow@Twitter :
No comments:
Post a Comment