Kembara Barat dan Utara Thailand 2011
Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera
Previu
Hasrat mengembara bermotosikal merentasi bahagian barat dan utara Thailand mejangkau perjalanan hampir 6000 km selama 12 hari, bermula 21 Disember 2011 hingga 1 Januari 2012, telah dicapai oleh enam penunggang jentera berkuasa tinggi pelbagai kategori. Ekspedisi enam peserta kembara yang terdiri daripada Mas Fadzilah dengan KTM 990 Adventure, Zainudin menunggang BMW R1200GS, Rahman pula dengan BMW R1150RT, manakala Hj. Halim, Faiz dan Fauzy, masing-masing mengemudi Kawasaki Versys 650.
Misi kembara utama adalah untuk menakluk “Thousand Corners”, secara teknikalnya jalan dengan 1,864 selekoh melalui route 1095 Chiang Mai-Pai-Mae Hong Son yang amat terkenal dalam dunia permotoran kembara dua roda antarabangsa. “Thousand Corners” terletak di pergunungan utara Thailand yang bersempadan dengan Myanmar di sebelah barat.
Misi kedua kembara pula adalah meneruskan kembara ke “Golden Triangles”, iaitu kawasan setiga emas yang bersempadan dengan tiga negara iaitu Thailand, Myanmar dan Laos. Tiga pekan atau bandar “ Golden Triangles” akan dijejaki iaitu Sop Ruak (Golden Triangle Thailand), Donsoa (Golden Triangle Laos) dan Tachileik (Golden Triangle Mynmar).
Ironinya, kesemua peserta belum pernah mengikuti laluan atau sampai ke tempat yang dirancangkan. Berbekal semangat penunggang tegar dengan konsep percutian kembara iaitu terus menunggang sebelum senja berlabuh dimana tiada tempahan awal tempat penginapan dibuat dan juga tanpa kenderaan sokongan. Walau bagaimanapun, aspek keselamatan para peserta kembara tidak di abaikan, andaikata ada masalah dari segi fizikal atau pun masalah mekanikal pada jentera, maka bandar atau pekan terdekat akan dijadikan tempat bermalam.
Para peserta kembara berlepas pukul 9:00 pagi pada 21 haribulan Disember 2011 dari Restoran Jejantas R&R Sungai Buloh menuju ke Maesot, Thailand merangkumi perjalanan sejauh 1700 km menerusi lebuhraya selama 3 hari dengan bermalam di Surat Thani dan Cha Am. Perjalanan dari Tak menuju Maesot merupakan permulaan atau pemanas bagi “Thousand Corners” sejauh kira-kira 86 km. Cabaran sebenar bermula pada hari ke-4 dari Maesot ke Maehongsorn sejauh 400 km, dengan jalan berbukit dan berliku dengan pelbagai keadaan jalan dari bertar hingga tidak berturap yang merentasi sepanjang atau selari dengan bahagian barat sempadan Thailand-Myanmar.
Cabaran seterusnya hari ke-5 menuntut kemahiran tunggangan dan kawalan jentera dilaluan berliku-liku sepanjang jalan merentasi lembah dan lereng banjaran pergunungan yang berselekoh tajam serta berkecuraman tinggi semasa mendaki atau menuruni lereng yang menghubungkan Mae Hong Son-Pai-Chiang Mai. Laluan dinamakan “route 1095” ini sejauh 200 km dengan sejumlah 1864 selekoh berjaya diharungi.
Mae Hong Son yang dikenali sebagai “The land of three season mists” menyaji laluan berkabus di pagi hari dengan suhu sejuk di bawah 20 darjah celcius di musim sejuk. Udara yang segar dan nyaman serta pemandangan yang cantik menyuntik semangat untuk meneruskan perjalanan ke Sop Ruak/Golden Triangles dari Pai yang jaraknya kira-kira 300 km ke utara Thailand.
Golden Triangles terkenal dengan sejarah perdagangan opium ini memberi peluang para peserta meyaksikan aliran Sungai Mekong yang merupakan nadi kehidupan sekitarnya dan juga menjadi sempadan tiga negara antara Thailand, Myanmar dan Laos. Peluang untuk mejejak kaki ke Zon Ekonomi Perdagangan Pulau Donsoa terletak di sebelah Laos walaupun berhadapan Sop Ruak dan bandar Tachileik, Myanmar menerusi Maesai yang merupakan bandar paling utara Thailand tidak dilepaskan.
Setelah kedua-dua misi ekpedisi tercapai, para peserta berehat di Chiang Mai selama dua malam pada hari ke -7 dan -8, sebelum meneruskan perjalanan ke Hatyat dan berehat dua malam lagi di sana. Dari Golden Triangles, dua peserta ekpedisi iaitu Haji Halim dan Fauzi telah membuat lencongan ke Chiang Kong sebelum menuju ke Chiang Mai untuk meninjau pintu sempadan laluan ke Laos menerusi feri menyeberangi Sungai Mekong bagi perancangan ekspedisi di masa hadapan.
Hajat untuk menikmati kemeriahan pesta bunga api malam sambutan tahun baru di Hatyai terganggu dengan hujan sepanjang hari dari malam sebelumnya hingga ke hari pertama tahun baru 2012. Perjalanan hari ke-12 dari Hatyai ke Kuala Lumpur penuh kejutan tidak disangka di mana hampir ke semua laluan utama ke Sadao terputus akibat banjir. Walau bagaimana, kami berjaya mencari laluan lencongan dengan maklumat dari penduduk-penduduk setempat dan meredah jalan-jalan di tengelami banjir yang memakan masa hampir tiga jam untuk sampai ke Danok-Bukit Kayu Hitam, iaitu sempadan Malaysia-Thailand yang jaraknya kurang dari 100 km. Semua peserta berjaya menamatkan ekpedisi kembara bermotosikal ini dengan selamat dan pulang ke pangkuan keluarga dengan jentera masing-masing.
Akhir kata, jauh perjalanan, luas pandangan, bertambah pengetahuan dengan pengalaman tak ternilai.
Peserta dan motosikal
Seramai 6 peserta dengan dengan 4 kategori jentera yang berlainan kuasa kuda iaitu KTM 990 Adventure, BMW R1200GS, BMW R1150RT dan 4 Kawasaki Versys 650 (2011).
Bro Haji Halim (2011 Versys 650)
Berusia 40-an yang sudah biasa menjelajah selatan Thailand di beri tugasan merancang laluan yang bakal ditempoh berdasarkan peta dan juga pengalaman serta maklumat terkini dari penunggang-penunggang yang pernah melalui laluan yang dirancang. Pada masa yang sama mengumpul maklumat bagi perancangan untuk siri jelajah ke Laos dan menyimpan cita-cita untuk menunggang secara solo mengelilingi dunia.
Bro Mas Fazillah (KTM 990 Adventure)
Berusia 40-an, pernah menjelajah Laos menerusi Thailand dan ingin melengkapi siri jelajah ke bahagian barat dan utara Thailand.
Bro Faiz (2011 Versys 650)
Berusia lewat 50-an, yang ingin mecabar keupayaan diri sendiri untuk merasai pengalaman laluan “1000 corners” dan membuktikan usia bukan menjadi faktor penghalang.
Bro Rahman (BMW R1150RT)
Berusia lewat 50-an, juga ingin mecabar keupayaan diri sendiri untuk merasai pengalaman laluan “1000 corners” yang telah lama menjadi impian. Beliau tidak dapat tidur seharian sebelum memulakan perjalanan serta berasa sedikit gusar dengan cabaran bakal ditempuhi berdasarkan cerita rakan-rakan. Ada juga di kalangan rakan-rakan yang menasihati supaya membatalkan saja hasratnya jika menunggang dengan motosikal R1150RT.
Berusia lewat 40-an, berjiwa kembara ingin melengkapi siri jelajahnya ke Thailand serta sedang merancang siri jelajah ke Laos pula.
Berusia awal 40-an, wakil tunggal dari grup permotoran 'Oilerbikerz' yang buat pertama kali menyertai ekspedisi kembara bermotosikal merentasi sempadan antarabangsa serta baru dua bulan memiliki Kawasaki Versys 650, dan belum pernah menunggang di jalanraya Thailand. Satu perjalanan tidak pernah difikirkan dan menyertai expedisi lima sahabat lama diatas yang baru dikenali. Kedengaran seperti tidak masuk akal, dimana Bro Mas Fadzilah menyatakan sepanjang penglibatannya dalam aktiviti kembara permotoran, belum pernah ada penunggang yang berbuat demikian ke laluan yang paling mencabar apa lagi buat kali pertama memasuki Thailand. Sudah pasti menjadi satu cabaran dan juga kegusaran.
Bersambungan ke Hari 01
Terima kasih kerana melayari blog ini.
Wassalam,
Fauzy
Dinukilankan pada 10 Desember 2016
Follow@Twitter: Follow @JomRideSokmo
View web version if you have problem in viewing mobile version
Bersambungan ke Hari 01
Terima kasih kerana melayari blog ini.
Wassalam,
Fauzy
Dinukilankan pada 10 Desember 2016
Follow@Twitter: Follow @JomRideSokmo
View web version if you have problem in viewing mobile version
No comments:
Post a Comment