Nota Kembara Hari ke-2 (Isnin 24/10/16):
Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, kira-kira 294 km jarak perjalanan hari ke-2 telah disempurnakan mengelilingi Pulau Pinang, seterusnya ke Kuala Muda-Tanjung Dawai-Yan-Kuala Perlis (Putra Brasmana Hotel)
Selamat Pagi Penang. Pemandangan dari bilik Alora Hotel. Dikejauhan kelihatan Jambatan Pulau Pinang Pertama.
Kami bersarapan di hotel, serta berbincang untuk aktiviti pagi ini. Bro. Mus dan Doc Annuar hanya mengikuti kami sampai di Pulau Pinang sahaja seperti dipersetujui sebelum trip ini lagi. Mereka akan berpatah balik ke KL sambil singgah beberapa tempat. Terima kasih Bro Mus dan Doc Annuar yang sudi "JomRide" bersama kami. Bro Achid dengan Bro Ard akan menyelesaikan urusan merawat "kaki harimau pancit". Mereka akan ke Georgetown untuk ke Pusat Service Triumph dan kembali semula ke hotel.
Jadi nampaknya saya akan mengelilingi Penang Island secara solo. Setelah memaklumkan pihak hotel untuk daftar keluar lewat, tayar golek dari hotel dalam pukul 10:30 pagi melalui route 6 Jalan Sultan Azlan Shah ke Balik Pulau. Sebelum sampai Balik Pulau, melencong ke route P239 (ke Pulau Betong), 237 Jalan Sungai Rusa, dam memasuki semula route 6 menghala Teluk Bahang.
Selepas melayan korner-korner yang agak lembap akibat hujan semalam, dalam pukul 11:30 pagi tiba di Air Terjun Titi Kelawang
Mengikut pekerja-pekerja Jabatan Air di sini, hari ini baru ada banyak air mengalir kat air terjun selepas hujan lebat semalam, yang mana sebelum ini agak "kekeringan".
Atas bukit sini banyak dusun buah durian, tapi sudah habis musim, jadi tidak dapat merasa durian Balik Pulau. Menuju ke Teluk Bahang, melayan lagi korner-korner lembap ("basoh belejung" kata orang Ganu bermaksud sangat basah/tempat berair) menuruni bukit ke Empangan Teluk Bahang. Jalan lenggang, tiada kenderaan mahupun motor. Oh ya, cuma ada berselisih dalam korner dengan satu R1200GS dari arah bertentangan, melayan secara solo juga. Jadi "alon-alon", "safe riding in wet mode" diutamakan, tidak boleh "laju beribok" kata orang Ganu. Hampir pukul 12:00 tengahari sampai ke Empangan Teluk Bahang
Kurang 10 minit sudah sampai sehingga pesisir Teluk Bahang, disebuah jeti perkampungan nelayan (Kg Tengah/Mukah Head) melalui P244 Jalan Nelayan, di mana penghujung jalan ini terdapat pintu masuk ke Taman Negara Pulau Pinang.
Saya meneruskan perjalanan melalui route 6 menuju Batu Ferringhi.
Kurang dua minggu selepas itu, akibat hujan lebat, jalan ini mengalami banyak tanah runtuh sehingga terpaksa ditutup beberapa hari sehingga kerja-kerja baik pulih selesai. Sila perhatikan rekahan pada jalan dalam photo diatas (sebelah kiri motor).
Pemandangan pesisiran pantai Batu Ferringhi menuju Tanjung Bungah.
Dalam pukul 12:30 tengahari tiba di Gurney Drive, meneruskan perjalanan melalui Persiaran Gurney dan Tanjung Tokong, seterusnya ke Fort Cormwallis.
Tiba ke Fort Cormwallis (1882) 15 minit kemudian.
Bergambar dengan Queen Victoria Memorial Clock Tower dulu sebelum langsung ke hotel.
Hampir pukul 1:00 tengahari tiba di hotel
Nampak Triumph Tiger sudah berada di hotel.
Mengikut Bro Achid, mekanik pusat servis memaklumkan banyak kes sebegini terjadi pada "standard rubber valve" asal. Mungkin sudah sampai hayat perlu ditukar berkala setiap kali menukar tayar. Untuk lebih selamat, ditukarkan ke jenis "metal valve" sepasang depan belakang sekali.
Setelah daftar keluar dari hotel, sudah pukul 2:00 petang, jadi makan tengahari dulu di Kayu Nasi Kandar, terletak tidak jauh dari hotel. Lepas sejam, "tayar golek" meninggalkan Pulau Pinang menuju Georgetown.
Saya terpisah dengan Bro. Achid gara-gara tersalah susur keluar, jadi terpaksa buat pusingan "U" (sebenarnya "Musing Ketang" bahasa Ganu bermaksud berpusing-pusing) untuk masuk Jambatan Pulau Pinang Pertama.
Memasuki Jambatan Pulau Pinang Pertama.
Ditengah-tengah Jambatan Pulau Pinang ("atah retok" kata orang Ganu bermaksud atas titi/jambatan)
Hujan amat lebat selepas susur keluar dari Jambatan Pulau Pinang. Sudahlah hujan, tersilap susur lagi. Sepatutnya ikut E17 Lebuhraya Luar Butterworth terus ke Bagan Ajam. Sebaliknya, terkeluar ke ke route 1 Jalan Kampung Gajah dengan banyak simpang 4 berlampu isyarat.
Kami "re-group" dan mengisi minyak di Petronas Bagam Ajam. Terdapat "missed call" dari hotel. Setelah menghubungi pihak hotel, memaklumkan saya tercicir kunci motor utama asal dekat "reception". Terpaksa memohon jasa baik hotel mengeposkan kembali ke alamat rumah. Kami meneruskan perjalanan melalui route P1 Jalan Penaga dan K14 (Kampung Kepala Jalan) dan tiba di Tugu Peringatan Tsunami 26 Disember 2004 dalam pukul 5:00 petang.
Perancangan asal hendak membuat satu pusingan ("loop") dari Jeti Kuala Muda-Pulau Sayak-Pantai Merdeka-Kota Kuala Muda, tetapi memandangkan kesuntukan masa dan hujan masih lagi rintik-rintik, hasrat tersebut terpaksa dibatalkan dan meneruskan perjalanan ke Tanjung Dawai.
Kami kembali ke Kota Kuala Muda, memasuki route 1, seterusnya keluar ke route, 257 Jalan Lencongan Barat, K167 Jalan Raya Semeling, 253 Jalan Pintasan Semeling, K652 Jalan Kg Sg Pial, dan K161 Tanjung Dawai. Kami tiba di Jeti Tanjung Dawai dalam pukul 6:00 petang.
Pemandangan ke arah muara Sungai Merbok. Semasa di Tanjung Dawai, ada seorang pakcik yang menemu ramah saya menanyakan soalan, "Muara atau kuala sungai mana yang paling lebar di Malaysia?". Lepas itu "yang paling lebar kat Malaya?". "Bapok rohok " (loghat Ganu bermaksud payah/susah) soalan geografi pakcik tu nak kena jawap" kata dalam hati. Saya buat-buat tak tahu dan tanya dia balik. Apa lagi kena "sekolah" lah saya, teringat pulak guru geografi saya masa tingkatan dulu.
Lepas tu saya ada kongsi soalan ni kat guru geografi dalam "grup Whatsapp kelas". Rupanya kat sini kampung cikgu saya, patutlah geografi jadi subjek pilihan cikgu. Terima kasih Cikgu Kurasia Ghani yang mengajar saya semasa di MRSM Taiping dulu.
Di seberang sana ("alek nong" kata orang Ganu) kelihatan Pantai Merdeka di antara dua bukit. Pantai inilah yang menjadi lirik lagu 'Cinta Pantai Merdeka'. Bagi pengunjung yang ingin ke Pantai Merdeka boleh menaiki bot ke seberang sana.
Kami "re-group" dan mengisi minyak di Petronas Yan dalam pukul 7:00 petang. Oleh kerana hari sudah semakin gelap, persinggahan seterusnya iaitu Pulau Bunting yang dihubungi dengan tanah besar melalui Jambatan Pulau Bunting, dan laluan jalan pantai dari Kuala Sanglang hingga ke Kuala Perlis terpaksa dibatalkan. Dari Petronas Yan, kami langsung ke Kuala Perlis melalui K1, 78 Jalan Kuala Kedah, 7 Jalan Kangar-Alor Setar, 194 Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis. Kami tiba di Putra Brasmana Hotel, Kuala Perlis (pautan ke Booking) pukul 9:00 malam lebih.
Makan malam di Mona Ikan Bakar dekat Medan Ikan Bakar Kuala Perlis berdekatan dengan hotel
Keseluruhannya untuk hari kedua, kami menempuh perjalanan sejauh 294 km berdasarkan trip odometer.
Route yang dilalui pada hari pertama
Stesen-stesen Isian-semula Petrol (jarak ikut route:Versys650):
0 km dari Petron R&R Semangol
142 km ke Petronas Bagan Lebai Tahir: 10.56ltr@RM1.80/ltr
118 km ke Petronas Jalan Yan (ke Kuala Perlis 101 km lagi): 4.88ltr@RM1.80/ltr
Cuaca:
Cuaca cerah di sebelah pagi di Pulau Pinang.
Hujan lebat ketika melalui Georgetown sebelah petang.
Mendung dan rintik-rintik selepas hujan dari Bagan Serai ke Tanjung Dawai.
Video Footages:
Akan menyusul kemudian.
Terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan bikers yang mendoakan keselamatan kami semua.
Oh ya. Selepas seminggu, Alhamdulillah, saya menerima kembali kunci motor tercicir daripada Alora Hotel. Terima kasih kepada pihak pengurusan hotel. Sepanjang trip, saya hanya mempunyai satu kunci motor sahaja kerana kesukaran membuat kunci pendua.
Terima kasih melayari blog ini.
Fauzy@JomRideSokmo
Dinukilankan pada 20 November 2016
Dinukilankan pada 20 November 2016
Terbaikkk la
ReplyDeleteTerima kasih singgah di sini.
ReplyDelete