Tuesday, 25 October 2016

Kembara Pesisiran Malaya 2016 (Utara) Hari Ke-3: Kuala Perlis-Kota Bharu

Nota Kembara Hari ke-3 (Selasa 25/10/16):

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera

Alhamdulillah, kira-kira 476 km jarak perjalanan hari ke-3 telah disempurnakan dari Kuala Perlis menyusuri Tasik Pedu-Tasik Muda-Tasik Beris, 'leferan' sepanjang Kupang-Gerik, merentasi Tasik Temenggor, Pulau Banding dan Banjaran Titiwangsa, berakhir di Khalifa Suite Kota Bharu.

 Selamat Pagi Kuala Perlis! Waktu sekarang 7:15 pagi, kelihatan langit cerah selepas hujan sebelum subuh tadi. Kelihatan Medan Ikan Bakar Kuala Perlis tempat makan semalam dari bilik hotel.



 Selepas bersarapan pagi di hotel, saya dengan Bro Ard pusing-pusing di Kuala Perlis mencari kedai membuat kunci pendua motor, tetapi hampa setiap kedai yang dikunjungi tidak dapat membuatnya.

Sebelum pukul 10:00 pagi, kelihatan langit agak mendung. Alhamdulillah, tidak hujan ketika kami daftar keluar dari hotel dan mula bersiap untuk perjalanan hari ini.






 Dalam pukul 10:30 pagi, kami mula "tayar golek" meninggalkan hotel untuk mengisi minyak terlebih dahulu di stesen Petronas Kuala Perlis yang terletak di route 81 Jalan Kuala Perlis.

 Destinasi persinggahan lalu pertama adalah Tasik Pedu terletak dalam daerah Padang Terap.  Kami melalui route 194 Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, memasuki Lebuhraya PLUS dan susur keluar di 178 Alor Setar (U). Seterusnya, mengikuti route 175 ke Pokok Sena dan K11 ke Kuala Nerang. 

Tiba di Shell Kuala Nerang dalam pukul 12:00 tengahari untuk "re-group", bagi minum "kuda besi" dan "mengecas" tenaga pembalap-pembalap. Seterusnya, meneruskan perjalanan melalui route K123 dan K13 ke Kampung Pedu untuk memasuki Lebuhraya Baling-Durian Burung, menuju ke arah Baling.



 Kira-kira 10 km menyusuri Lebuhraya Baling-Durian Burung arah Baling, dalam pukul 1:00 tengahari, singgah sebentar di satu lokasi mempunyai pemandangan menarik Tasik Pedu. Tasik Pedu merupakan tasik buatan yang terbentuk daripada pembinaan Empangan Pedu yang digunakan untuk tujuan pengairan pertanian selain membekalkan air kepada penduduk di negeri Kedah.

 Dari jauh kelihatan air tasik kehijauan dengan paras air agak menyusut yang belum pulih akibat kesan fenomena El-Nino yang menyaksikan penyusutan paras air di empangan-empangan utama seluruh negara. Tidak terkecuali Tasik Pedu, Tasik Muda dan Tasik Beris yang menjadi persinggahan di Kedah ini. Kalau semalam, kami berada di Kuala Muda (Kota Kuala Muda), sekarang berada di Ulu Muda yang mana meliputi ketiga-tiga tasik dalam laluan kami.


Kurang 15 minit kemudian, dalam 15 km seterusnya, tiba di simpang masuk ke jeti Tasik Muda.





 Seperti Tasik Pedu, paras air di Tasik Muda juga agak rendah. Boleh dilihat kereta dapat dipandu dan parkir sehingga ke pinggir tasik. Kebiasannya apabila paras air penuh, hanya dapat parkir di kawasan kami meletak motor. Terdapat satu kedai makan di hujung jalan berdekatan jeti.

 Bergambar dulu dengan Empangan Muda Gubir. Tasik Muda merupakan tasik buatan yang terbentuk daripada pembinaan Empangan Muda untuk memastikan Kawasan Muda mendapat bekalan air pengairan yang mencukupi bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi (tanamam dua kali setahun) untuk keperluan negara. Kedah kan terkenal dengan jolokan 'negeri Jelapang padi Malaya'.




 Permukaan jalan Lebuhraya Baling-Durian Burung berkeadaan baik dengan liku-liku panjang serta pemandangan bukit-bukau sudah pasti mengujakan untuk melayan selekoh-selekoh, apa lagi agak lenggang tanpa kenderaan. Kalu bawa jentera 'superbike' memang boleh "kona lepe" (loghat Ganu bermaksud korner lipat/baring).

 Keratan bukit dipotong sepanjang jalan mendedahkan singkapan batuan dari Formasi Semanggol yang terbentuk oleh sedimen laut dalam kira-kira 250-300 juta tahun dulu (zaman 'Permian-Triasic), membentuk bukit bukau sekitar atau mengelilingi Tasik Pedu dan Muda. Mungkin kita biasa dengar istilah 'Jurasic' kira-kira 65 juta tahun dulu dari filem 'Jurasic Park'.

 Kami meneruskan perjalanan melalui route K13, seterusnya memasuki route 175 ke Sik tetapi akan singgah terlebih dahulu di Hentian Rehat Tasik Beris.



 Dalam pukul 1:45 petang, tiba di Tasik Beris yang terletak di daerah Sik. Tasik Beris juga mengalami nasib yang sama, masih rendah paras airnya. Sama seperti tasik-tasik sebelum ini, Tasik Beris dibina bertujuan untuk membekalkan air dan sumber pengairan untuk kawasan penanaman padi. Beberapa bulan yang lepas, Tasik Beris hampir kering kontang sehingga jalan lama yang terdapat di dasar Tasik Beris terdedah. Jalan lama ini digunakan orang ramai untuk ke Gulau atau Nami dari Pekan Sik.

 Kami bercadang untuk makan tengahari di Hentian Rehat Tasik Beris sambil menikmati pemandangan Tasik Beris, tetapi agak hampa, kesemua kedai makan tutup, mungkin sebahagian besarnya sudah tidak beroperasi lagi. Mungkin kekurangan pengunjung disebabkan 'tiada lagi' anggur di ladang anggur (kini menjadi ladang herba) bersebelahan Tasik Beris yang menjadi tarikan ke Tasik Beris.

 Kami meneruskan perjalanan ke Sik, memasuki route K15 Jalan Parit Panjang dan tiba di stesen Petronas Parit Panjang dalam pukul 2:15 petang untuk "regroup" dan mengisi minyak. Di seberang jalan stesen Petronas kelihatan ada kedai makan bersebelahan masjid. Jadi kami berhenti makan tengahari di kedai makan tersebut dan bersolat di Masjid Omar Zuhdi.

 Selepas satu jam, "tayar golek" menuju Kupang melalui route K154 Jalan Kuala Pegang, dan ke Gerik melalui route 4 Jalan Baling-Gerik. "Yes! Welcome to Kupang International Circuit". Rasanya kali terakhir saya melalui route 4 ini ketika trip dengan grup 'Oilerbikerz' ke Air Panas Ulu Legong tahun 2010 melayan dengan jentera 'superbike'.

 Apa lagi, masuk sahaja route 4 Jalan Baling (Kupang)-Gerik terus 'berdesup' Triumph Tiger. Kasihan kat Versys tak cukup satu liter 'tercungap-cungap' kalau nak ikut 'si harimau'. Jadi saya ikut 'pace' sendiri dengan dengan kapasiti jentera 'Versys 650' yang ditala sekadar untuk 'makan angin'. Bro Achid kata memang seronok dapat layan korner-korner panjang Lebuhraya Kupang-Gerik dengan keadaan jalan masih 'cantik' dan lenggang, macam MotoGP la pulak. Sampai gambar mahupun video pun tak sempat nak rakam. Lain kali datang bawa 'superbike' seloroh Bro Achid kat saya.

Dari Gerik, route 4 menjadi Lebuhraya Timur-Barat merentasi Banjaran Titiwangsa, Pulau Banding dan Tasik Temenggor (ada yang memangginya sebagai Tasik Banding) yang terbentuk dari pembinaaan Empangan Temenggor untuk janakuasa hidroelektrik bagi negeri Perak. Tasik Banding merujuk kawasan tasik berdekatan Taman Negara Royal Belum bersebelahan dengan Tasik Temenggor. Jadi Pulau Banding terletak dalam Tasik Temenggor. Keliru! Saya pun. ha ha ha


 Menghampiri Tasik Temenggor/Pulau Banding berdekatan Dataran Juang Tentera Darat. Kasi 'on' video dulu. Lupa pula nak bergambar dengan monumen kereta perisai Condor kat situ yang nampak dalam video shot walaupun dah plan. Bila Bro. Achid tanya kenapa berhenti sini terus lupa. ha ha ha



 "Atah retok" Jambatan Tasik Temenggor menyeberangi Tasik Temenggor ke Pulau Banding. Tasik Temenggor adalah tasik kedua terbesar di Semenanjung Malaya selepas Tasik Kenyir di Terengganu.

 Memasuki Pulau Banding yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara Royal Belum. Saya pernah bermalam di Belum Rainforest Resort Pulau Banding ketika mengikuti trip grup 'Oilerbikerz' pada tahun 2008. Masa itu resort ini baru dibuka. Sebelahnya dulu ada stesen Petronas Pulau Banding, tapi sekarang sudah tiada. Resort itu juga membuka 'Hentian Rehat Pulau Banding'. Kalau masuk dengan kereta kena bayar parkir yang agak terhad. Pada tahun 2009, sekali lagi bersama grup 'Oilerbikerz' melalui lebuhraya ini dari Kota Bharu ke Penang. Ketika itu melayan dengan jentera 'superbike'.








 Antara aksi-aksi peleferan Triumph Tiger semasa melalui Pulau Banding.



 Meninggalkan Pulau Banding melalui jambatan kedua merentangi Tasik Temenggor. Ingat nak singgah masuk bawah jambatan ke jeti, takpelah nanti risau pulak Bro Achid tengok saya hilang dari pandangan cermin sisi sebab tidak dimasukkan dalam GPS kami berdua awal-awal.

 Sekitar pukul 5:45 petang tiba di Hentian Titiwangsa terletak di puncak Banjaran Titiwangsa untuk "re-group".







 Hanya terdapat satu restoran Hentian Rehat Titiwangsa iaitu Restoran Amiza Titiwangsa dengan 'menyajikan' pemandangan panoramik pergunungan Banjaran Titiwangsa menjadi 'tulang belakang' semenanjung Malaya. Berbanding dahulu, sudah banyak kemudahan disediakan. Kami berhenti minum petang dan berehat menghilang 'kelesuan' dengan suasana nyaman di sini.




 Sebentar tadi saya ada menyebut berbanding dahulu. Lebuhraya Timur-Barat sebenarnya sudah menjadi laluan berulang-alik semenjak zaman persekolahan saya ditingkatan (awal 1980an) lagi dari Kuala Terengganu ke Taiping dan sebaliknya. Kalau dahulu, lebuhraya ini dibuka waktu siang sahaja dengan kawalan keselamatan ketat oleh polis dan askar. Waktu itu, kita masih dapat menyaksikan jentera-jentera pembinaan yang dibakar komunis.

 Pernah satu ketika, bas express yang dinaiki saya dari Kuala Terengganu mengalami kerosakan tayar hadapan, terbabas dan hampir terjunam ke dalam gaung. Syukur Alhamdulillah, tidak ada kemalangan jiwa berlaku. Oleh kerana hari sudah petang, bas gantian tidak dibenarkan masuk dari Gerik. Saya dan penumpang lain termasuk rakan-rakan sekolah terpaksa menaiki trak-trak askar secara konvoi diiringi kereta perisai di depan dan belakang waktu malam untuk ke Gerik untuk menaiki bas gantian yang menunggu. Satu perjalanan yang panjang ke Taiping sampai keesokan paginya. Terima kasih abang askar.

 Sesungguhnya Lebuh Raya Timur-Barat merakam banyak peristiwa dan sejarah perjuangan yang melibatkan kemusnahan harta benda dan nyawa sebagai galang ganti dalam menentukan keselamatan persempadanan dari ancaman komunis.

 Dari Hentian Titiwangsa, kami meneruskan perjalanan dan tiba di stesen Petronas Jeli dalam pukul 6:45 petang untuk "re-group" dan mengisi minyak. Oleh hari semakin gelap, kami terus bergerak ke hotel di Kota Bharu mengikut route dicadangkan GPS iaitu melalui route 196 Jalan Rantau Panjang, 3/AH18 Jalan Pasir Mas, 207 Jalan Tunjung-Pasir Mas dan 8 Jalan Kuala Krai.

 Dalam 8:30 malam, kami sampai ke Khalifa Suites, terletak di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu (pautan ke Booking)  berhadapan dengan Masjid Muhammadi.


Pemandangan Menara Jam Tambatan DiRaja ketika bersiar-siar mengelilingi Padang Merdeka Kota Bharu untuk mencari tempat makan malam. Kami memilih restoran Selera Kampung " Padang Bank" Jalan Tengku Besar untuk makan malam.

 Kepada kenalan di Kota Bharu, saya mohon maaf kerana tidak berkesempatan untuk bersua muka. "Tu lah masuk kampung orang senyap-senyap". Kembara kami dalam 'expedition mode' dengan masa agak terhad. "Bereh....boss...lain kali hello2..boleh geder2.."

Keseluruhannya untuk hari ke-tiga, kami menempuh perjalanan sejauh 476 km berdasarkan trip odometer.



Ketinggian dari Kupang-Grik-Jeli
Stesen-stesen Isian-semula Petrol (jarak ikut route: tangki Versys650):
0 km dari Petronas Kuala Perlis: 
104 km ke Shell Kuala Nerang: 6.28ltr@RM1.80/ltr
102 km ke Petronas Parit Panjang: 5.27ltr@RM1.80/ltr
73 km ke Shell Bandariang: singgah lalu tetapi tidak mengisi minyak
167 km ke Petronas Jeli (KB sejauh 123 km lagi): 10.80ltr@RM1.80/ltr

Cuaca:
Cuaca mendung dari kuala Perlis ke Alor Setar
Cuaca cerah tetapi tidak terlalu panas terik dari Alor Setar hingga ke Jeli.
Tiada hujan dari Jeli ke ke KB.

Video Footages:
Akan menyusul kemudian.

Terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan bikers yang mendoakan keselamatan kami semua.

Terima kasih melayari blog ini.

Fauzy@JomRideSokmo
Dinukilankan pada 22 November 2016

Like This Blog:     Follow@Twitter:  


Kembali ke Pendahuluan      ⟺     Bersambung hari ke-4

2 comments:

  1. Amboiii...tau la geologist...sampai formation pun cerite...hihihihi

    ReplyDelete