Sunday, 29 January 2017

Singgah Sebentar di Pantai Klebang dan Pantai Pengkalan Balak, Melaka

SINGGAH SEBENTAR DI PANTAI KLEBANG DAN PANTAI PENGKALAN BALAK, MELAKA

29/01/2016

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera

 Selepas menghadiri satu jemputan majlis perkahwinan di Rembau, langsung terlajak ke Pantai Klebang dan Pantai Pengkalan Balak terletak di pesisir negeri Melaka.

 Sempena cuti Tahun Baru Cina, jalan agak sesak apabila tiba di Cheng sebelum memasuki persimpangan ke Pantai Klebang melalui Jalan Pulau Gadong. Dalam pukul 4:30 petang, tiba di jalan Pantai Klebang, Dataran 1Malaysia, Melaka yang juga sesak dengan kenderaan dan memenuhi parkir-parkir di kiri kanan jalan. Jadi terus keluar dari jalan pantai sebelum Bustel Klebang memasuki kawasan lapang berhampiran pantai dan terus parkir di situ. Pantai Klebang agak sinonim dengan Bustel  (bas yang ditukar menjadi hotel), Klebang Original Coconut Shake, dan Muzium Kapal Selam. Hasrat nak bersiar-siar dengan membuat buat satu pusingan dulu serta singgah di tempat-tempat tersebut terbantut disebabkan kesesakan lalu lintas.

 Sepanjang pesisiran pantai kelihatan ramai orang yang bersantai dan juga berkelah bersama keluarga. Oleh kerana pesisir pantai Klebang terletak dalam lagun, sebelah petangnya air surut dengan dasarnya yang agak cetek pula, sudah pasti ramai pengunjung yang mandi-manda terutamanya kanak-kanak. Ada dua aktiviti yang menarik perhatian saya iaitu aktiviti mencari atau mengutip kepah dan juga mengopek teritik oleh pengunjung-pengunjung pantai ini. Jom tengok...

Pantai Klebang, Dataran 1Malaysia, Melaka



Ramai pengunjung datang ke Pantai Klebang sempena cuti panjang Tahun Baru Cina di hujung minggu

Orang ramai yang datang bersantai dan juga membawa keluarga untuk berkelah

Di pesisir laut yang cetek ketika air surut waktu petang kelihatan satu barisan orang ramai sedang berbuat sesuatu

Rupa-rupanya pengunjung-pengunjung ini mencari kepah di pesisir Pantai Klebang

Berkelah bersama keluarga sambil mencari kepah di pesisir Pantai Klebang, Dataran 1Malaysia, Melaka

Kawsan air cetek boleh meraba-raba pakai tangan, Bahagian air agak dalam pula pakai kaki.

Pengunjung-pengunjung mencari kepah di pesisir Pantai Klebang, Dataran 1Malaysia, Melaka

Berkelah dan mencari kepah. Aktiviti bersantai hujung minggu sampil mencari makanan laut. Nampak rezeki ada di mana-mana kalau ada usaha. Jom tengok macam mana hasil pencarian mereka.

Inilah rupa kepah-kepah yang dicari atau dikutip dari dalam pasir di dasar pesisir pantai

Hasil pemburuan makanan laut oleh satu keluarga

Kepah yang diperolehi dikumpulkan dalam baldi bakal menjadi menjadi santapan satu keluarga

Saiz kepah yang diperolehi. Pelbagai saiz, tapi rasanya agak bersaiz kecil.

Tidak berapa pasti harganya, tetapi hasilnya boleh dijual pada harga RM8-10 satu kilogram (kg) bergantung pada saiz

Hasil tangkapan oleh satu keluarga mengunakan sejenis jaring atau pukat dan juga pancing.

Berjalan ke muara lagun dengan benteng pemecah ombak atau penahan hakisan dibina dari bongkah batuan granit. Bongkah batuan granit mudah didapati dari kuari-kuari tetapi rasanya kurang 'lasak' disebabkan kandungan mineralnya. Jadi boleh lihat bongkah-bongkah besar itu ada yang 'pecah' atau terurai menjadi ketulan-ketulan kecil.

Walaupun ketulan-ketulan batuan granit 'mencemari' pasiran pantai, kelihatan satu keluarga sedang mencari sesuatu pada ketulan-ketulan batuan tersebut. Jom tengok apa yang sedang dilakukan mereka.

Saya bertanya pada mak cik ini apa yang sedang dilakukan. Rupa-rupanya sedang mengambil isi teritik yang hidup melekat pada ketulan-ketulan batuan granit tersebut, Kelurga mak cik ni datang dari Sepang.

Sang ibu mengetuk cengkerang teritik sehinggga pecah atau terkopek dengan sejenis alat seperti tukul tetapi hujungnya menajam. 

Setelah cengkerang itu terkopek, maka sang anak pula mengutip isi teritik tersebut seakan isi tiram. Pada saya bukan hasilnya yang penting tetapi melihat kerjasama atau hubungan ibu denagn anak-anaknya itu menghabiskan masa bersama-sama itu sedikit menyentuh perasaan saya. Maklumlah ibu saya telah 'kembali kepadaNYA' ketika usia saya masih kanak-kanak.

Inilah rupa dan saiz teritik yang hidup di ketulan batuan yang tengelam ketika air pasang, Suatu kehidupan yang menjadi rezeki satu keluarga

Cengkerang kelihatan putih adalah bahagian dalam, cengkerang sebelah atasnya sudang dikopek manakala isinya sudah diambil. Isi teritik yang dah dikumpul boleh dijadikan sambal teritik, macam sambal kerang tu kata mak cik tu. 

Bergambar kenangan dengan pemandangan panorama pesisir Pantai Klebang .

Pemandangan panorama pesisir Pantai Klebang dari muara berdekatan benteng pemecah ombak atau penahan hakisan.

Bergambar kenangan dengan pemandangan pesisir Pantai Klebang dengan laut terbuka (Selat Melaka).

Anak-anak kecil dari satu keluarga yang keseronokan 'berendam' dan bermain dalam air laut yang cetek dan tenang.

Ramai juga yang bermain layang-layang.

Satu keluarga yang berkelah sambil bermain layang-layang dengan anak-anak.

Dulu zaman kanak-kanak nak main layang-layang kena buat sendiri ikut kreativiti dan inovasi  sendiri. Sekarang boleh beli yang sudah siap dijual dan menjadi punca rezeki untuk pak cik dan mak cik ini. 


 Dari Pantai Klebang, singgah pula di Pantai Pengkalan Balak. Sama seperti Pantai Klebang sebelumnya, di jalan pantai Pengkalan Balak juga penuh sesak dengan kenderaan pengunjung-pengunjung. Apa lagi sepanjang jalan pantai yang agak sempit ini di penuhi  'guest house', 'home stay', 'beach cafe' dan restoran. Suasana yang agak berbeza berbanding Pantai Klebang. Oleh kerana sudah pukul 6:00 petang, saya terus mencari restoran ikan bakar berdekatan untuk makan malam bersama keluarga sebelum pulang.

Suasana pesisir Pantai Pengkalan Balak di penuhi pengunjung. Pantai ini mengadap terus lautan Selat Melaka

Suasana pesisir Pantai Pengkalan Balak di penuhi pengunjung. Ramai keluarga datang berkelah.

Nampak restoran Ikan Bakar Padang Kemunting mengadap laut dan kebetulan ada parkir kosong kereta yang baru keluar. Jadi terus singgah sini

Setelah meninjau dalam restoran, ada menyediakan makanan laut samada dibakar atau masakan lain. Juga terdapat warung menyediakan 'Western Food' dan juga roti  canai di dalam halamannya. Kat depan, seberang jalan ada 'beach cafe' menjual 'coconut shake'. Jadi rasanya boleh cuba lah buat pertama kali. Tak dapat merasa Klebang Original Coconut Shake, dapat kat sini pun jadi lah...

Ikan siakap bakar sambal cecah air asam di 'blend' dengan cili api dan sos kicap. Maaf separuh dah abis makan. Ikan dibakar  atau dipanggang terus atas bara api. Jadi ni betul-betulnya punya ikan bakar, bukan 'goreng' atas 'pan' atau balut dengan kertas aluminium atau daun pisang.


Ini antara dua pantai di pesisir negeri Melaka yang akan menjadi persinggahan untuk Kembara Pesisiran Semenanjung Malaya - Bahagian Selatan, masih dalam perancangan. InsyaAllah

Route yang dilalui:


Terima kasih kerana melayari blog ini.

Wassalam,

Fauzy

Follow@Twitter:  

No comments:

Post a Comment